Tuesday, May 26, 2015

selawat ke atas nabi muhammad s.a.w by ustaz abu anas

SELAWAT KE ATAS NABI SAW;
KELEBIHAN & LAFAZ YANG SAHIH.
بسم الله، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد..
Definisi - Makna perkataan: “Selawat”.
Perkataan selawat berasal dari bahasa Arab: الصلوات)), diambil dari perkataan solat (الصلاة) yang bererti doa atau pujian.
Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.

 Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan dari-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:
{هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا}
{Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.} [Al-Ahzab:43].  


Hukum berselawat.

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya berselawat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.


Kelebihan Selawat:
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»
Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Sabda Nabi SAW:

(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)

Maksudnya: "Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat". [HR: Tirmizi. Sahih].
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat Paling Afdhal
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah Ta'ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:
{إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}
{Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan}. [Al-Ahzab: 56]
Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan ianya sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:

Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].
Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Ini kerana para ulama’ telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”
Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas dari kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling parah– kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang sahih:
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih]
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:
1.   Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]
2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
 “Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].


3.  Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
 “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]

[Syarah Kelebihan Lafaz SELAWAT yang sahih... semoga dapat memahami maknanya & menambahkan kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW dan semua yang diselawatkan] 

4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]



5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]


6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

 “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].



7. Dari Abu Hurairah RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

 “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]



8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

 “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].




o   Waktu Afdhal Berselawat

·       Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:

·        Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.

·        Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.

·        Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.

·        Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.

·        Di akhir qunut dalam solat.
·        Di dalam solat jenazah.
·        Ketika masuk dan keluar dari masjid.
·        Setiap waktu pagi dan petang.
·        Hari Khamis malam Jumaat.
·        Sepanjang hari Jumaat.
·        Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW. Wallahu a’lam.

 sumber dari: http://abuanasmadani.blogspot.com/2013/01/selawat-ke-atas-nabi-saw-kelebihan.html

selawat ke atas nabi muhammad s.a.w

Fadhilat Selawat Ke Atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Sebagaimana pada artikel yang telah lalu (Bertajuk:
Bagaimana Berselawat Ke Atas Nabi), beberapa bentuk/contoh lafaz selawat yang sunnah telah pun dibentangkan. Pada artikel yang berikut ini, insyaAllah akan dipaparkan pula beberapa fadhilat dan kelebihan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

1 – Allah akan berselawat sepuluh kali ke atas mereka yang berselawat ke atas Nabi satu kali.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من صلى علي واحدة صلى الله عليه عشرا

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 16/198, no. 10287. al-Bukhari, Adabul Mufrad, 1/224, no. 645. Muslim, 2/376, no. 616. Abu Daud, 4/324, no. 1307. An-Nasa’i, 5/74, no. 1279)

2 – Dicatat baginya sepuluh kebaikan.
Daripada Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من صلى علي مرة واحدة كتب الله له بها عشر حسنات

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad, 12/520, no. 7561. Syaikh Syu’aib al-Arnauth berkata: Hadis ini sahih, sanadnya hasan)

3 – Dihapuskan sepuluh keburukkan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat (kemuliaan).

عَنْ أَبِي طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: أَصْبَحَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا طَيِّبَ النَّفْسِ يُرَى فِي وَجْهِهِ الْبِشْرُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصْبَحْتَ الْيَوْمَ طَيِّبَ النَّفْسِ يُرَى فِي وَجْهِكَ الْبِشْرُ قَالَ أَجَلْ أَتَانِي آتٍ مِنْ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فَقَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ مِنْ أُمَّتِكَ صَلَاةً كَتَبَ اللَّهُ لَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ وَمَحَا عَنْهُ عَشْرَ سَيِّئَاتٍ وَرَفَعَ لَهُ عَشْرَ دَرَجَاتٍ وَرَدَّ عَلَيْهِ مِثْلَهَا

Terjemahan: Daripada Abi Thalhah al-Anshari (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata:

Pada suatu hari, Rasulullah berada dalam keadaan yang sangat baik, jelas terpapar pada wajahnya kegembiraan, maka (para sahabat) bertanya:

“Wahai Rasulullah, pada hari ini engkau dalam keadaan yang sangat baik, jelas dapat dilihat kegembiraan pada wajahmu?” Beliau berkata:

“Benar, telah datang kepadaku (malaikat) dari Tuhan-ku, ia berkata:

“Sesiapa yang berselawat kepadamu dari ummatmu satu kali, nescaya Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, menghapuskan darinya sepuluh keburukkan (dosa), mengangkat baginya sepuluh darjat/kemuliaan, dan membalas kepadanya sebagaimana selawat tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, 26/272, no. 16352. Syaikh Syu’aib al-Arnauth berkata: Isnadnya dhoif. Dinyatakan sebagai Hasan lighairihi oleh Syaikh al-Albani, Shohih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/135, no. 1661)

4 – Dapat Bersama Nabi Di Hari Kiamat.

Daripada ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إن أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم الناس علي صلاة

Terjemahan: Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 2/305, no. 446 dengan katanya: Hasan ghorib. ath-Thabrani, 10/17, no. 9800. Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 2/212, no. 1563. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushonnaf, 11/505, no. 32447. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata (Fathul Bari, 11/167): Dihasankan oleh at-Tirmidzi, disahihkan oleh Ibnu Hibban dan padanya syahid (penguat) riwayat al-Baihaqi daripada Abi Umamah. Dinyatakan Hasan lighairihi oleh al-Albani, Shohih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/136, no. 1668)

5 – Orang yang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendapat doa/selawat daripada para malaikat.

Daripada ‘Amir B. Rabi’ah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

ما من عبد يصلي علي إلا صلت عليه الملائكة ما دام يصلي علي فليقل العبد من ذلك أو ليكثر

Terjemahan: Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Shohih wa Dhoif al-Jami’ ash-Shoghir, 22/182, no. 10682. Juga Syaikh Syu’aib al-Arnauth, Tahqiq Musnad Ahmad, 24/457)

6 – Beroleh syafa’at bagi sesiapa yang berselawat dan memohonkan wasilah untuk Nabi di waktu setelah azan dia.
Daripada ‘Abdullah B. Amr al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إذا سمعتم المؤذن فقولوا كما يقول ثم صلوا علي فمن صلى علي صلاة صلى الله عليه بها عشرا ، ثم سلوا لي الوسيلة فإنها منزلة في الجنة لا ينبغي أن تكون إلا لعبد من عباد الله وأرجو أن أكون أنا هو ، فمن سأل لي الوسيلة حلت عليه الشفاعة

Terjemahan: Apabila kamu mendengar azan dikumandangkan, ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh orang yang azan. Kemudian berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. Setelah itu, mintalah (kepada Allah) al-wasilah untukku kerana sesungguhnya al-wasilah itu adalah suatu kedudukan yang mulia di Syurga, yang tidak sepatutnya diberikan melainkan untuk seseorang dari kalangan hamba Allah . Aku berharap semoga akulah orang itu. Maka sesiapa yang memohon al-wasilah untukku, nescaya akan halal baginya syafa’at. (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 2/327, no. 577. At-Tirmidzi, 12/60, no. 3547)

7 – Keutamaan berselawat ke atas Nabi pada hari Jumaat.
Dari Aus B. Aus ats-Tsaqafi radhiyallahu ‘anhu, beliau ebrkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ يَقُولُونَ بَلِيتَ

فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ

Terjemahan: “Sesungguhnya hari yang paling afdhal bagi kamu adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut Adam diciptakan dan dimatikan, pada hari tersebut juga sangkala ditiup, dan pada hari itu juga terjadi kematian (seluruh manusia). Dengan sebab itu, banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari tersebut (Jumaat) kerana selawat kamu ke atasku diperlihatkan kepadaku.” Kemudian seorang sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami diperlihatkan kepadamu, sedangkan engkau telah menjadi tulang-belulang?” Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla benar-benar telah mengharamkan kepada bumi memakan jasad para Nabi.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 26/84, no. 16162. Abu Daud, Sunan Abi Daud, 3/239, no. 883. Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, 3/386, no. 1075 dan 5/129, no. 1626. Al-Baihaqi, Sunan ash-Shoghir, 1/371, no. 634. Syu’abul Iman, 3/109, no. 3029. An-Nasaa’i, Sunan al-Kubra, 1/519, no. 1666. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushonnaf, 2/516, no. 8789. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shohih Sunan Abi Daud, Ibnu Majah, dan beberapa tempat yang lain. Juga dinyatakan oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya Sahih, perawinya perawi kitab Sohih, Tahqiq Musnad Ahmad, 26/84)

Dari Abi Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أكثروا علي من الصلاة في كل يوم جمعة فإن صلاة أمتي تعرض علي في كل يوم جمعة فمن كان أكثرهم علي صلاة كان أقربهم مني منزلة

Terjemahan: Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791. Syu’abul Iman, 3/110, no. 3032. Dinyatakan oleh al-Albani sebagai hasan lighairihi, Shohih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/137, no. 1672)

8 – Mendapat keampunan dosa serta dicukupkan keperluan dunia dan akhiratnya.

Dari Ubay B. Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, berliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي. فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ النِّصْفَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا. قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Terjemahan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab:

Terserah kepadamu.” Aku pun berkata:

“Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata:

“Aku jadikan semua doaku untukmu.” Beliau pun bersabda:

“Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 8/497, no. 2381. At-Tirmidzi berkata: Hadis ini hasan sahih. Syaikh al-Albani berkata: Hasan, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 5/457, no. 2457)

Daripada Ubay B. Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ جَعَلْتُ صَلَاتِي كُلَّهَا عَلَيْكَ قَالَ إِذَنْ يَكْفِيَكَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى مَا أَهَمَّكَ مِنْ دُنْيَاكَ وَآخِرَتِكَ

Terjemahan: Seseorang berkata kepada Rasulullah (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), “Bagaimana pandangan kamu sekiranya aku jadikan seluruh doaku untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah bersabda, “Jika begitu, Allah Tabaraka wa Ta’ala akan mencukupkan apa yang kamu inginkan dari urusan dunia dan akhiratmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, 35/166, no. 21242. Tahqiq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Hadis hasan. Syaikh al-Albani berkata: Isnadnya jayyid, Shohih Targhib wa at-Tarhib, 2/137)

9 – Mendapat Syafa’at Nabi di hari Kiamat.

Daripada ‘Abdullah B. ‘Amr B. Al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

من صلى علي أو سأل لي الوسيلة حقت عليه شفاعتي يوم القيامة

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku atau memohon wasilah untukku, nescaya dia berhak mendapat syafa’atku pada hari Kiamat. (Hadis Riwayat Ismail B. Ishaq, Fadhlush Sholati ‘Alan Nabi, 1/49, no. 50. Tahqiq Syaikh al-Albani: Sahih)

10 – Doa yang dimulai dengan berselawat ke atas Nabi akan dimakbulkan.
Daripada Fadhalah B. ‘Ubaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدْ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ قَالَ ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ

Terjemahan: Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk bersama-sama kami (di masjid), tiba-tiba ada seseorang yang masuk lalu bersolat. Setelah itu, orang tersebut terus sahaja berdoa (dengan katanya):

“Ya Allah, ampunilah dan sayangilah aku.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menegur:

“Kamu terburu-buru wahai orang yang bersolat. Apabila kamu melaksanakan solat lalu kamu duduk, ucapkanlah pujian kepada Allah dengan pujian yang sewajarnya bagi Allah dan berselawatlah kamu kepadaku kemudian berdoa.” Setelah peristiwa itu, mereka yang lain apabila melaksanakan solat, mereka pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Wahai orang yang solat, berdoalah. Sudah tentu doamu akan dimakbulkan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 11/380, no. 3398, dengan katanya: Hadis ini hasan. Dinyatakan sahih oleh al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 3/163, no. 2765)

Daripada ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنْتُ أُصَلِّي وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَأَبُو بَكْرٍ ، وَعُمَرُ مَعَهُ ، فَلَمَّا جَلَسْتُ بَدَأْتُ بِالثَّنَاءِ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، ثُمَّ الصَّلاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، ثُمَّ دَعَوْتُ لِنَفْسِي ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَلْ تُعْطَهْ ، سَلْ تُعْطَهْ

Terjemahan: Aku pernah solat, di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar ada bersama. Di mana ketika aku duduk, aku mulakan dengan memuji (mengagungkan) Allah ‘Azza wa Jalla, kemudian berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berdoa untuk diriku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mintalah, pasti kamu akan diberi. Mintalah, pasti kamu akan diberi.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 2/467, no. 541 dengan katanya: Hadis hasan sahih. Begitu juga dengan al-Albani: Hasan sahih, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 2/93, no. 593)

11 – Nabi bersyukur kepada Allah dengan bersujud atas sebab umatnya yang berselawat untuknya.
Daripada ‘Abdurrahman B. ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فاتبعته حتى دخل نخلا فسجد فأطال السجود حتى خفت أو خشيت أن يكون الله قد توفاه أو قبضه

قال فجئت أنظر فرفع رأسه فقال ما لك يا عبد الرحمن قال فذكرت ذلك له قال فقال إن جبريل عليه السلام قال لي ألا أبشرك أن الله عز وجل يقول من صلى عليك صليت عليه ومن سلم عليك سلمت عليه - فسجدت لله شكرا

Terjemahan: Aku mengikuti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang keluar sehingga memasuki ke sebuah kebun kurma. Kemudian beliau bersujud dengan sujud yang sangat panjang/lama sehingga aku pun merasa bimbang sekiranya allah telah mewafatkan atau mengambil ruh beliau. Maka aku pun datang mendekati beliau. Beliau pun mengangkat kepalanya lalu berkata:

“Kenapa wahai ‘Abdurrahman?” Aku pun menjelaskan tentang apa yang aku bimbangkan tentang beliau. Maka beliau pun berkata:

“Sesungguhnya Jibril berkata, “Mahukah kamu aku berikan berita yang gembira? Iaitu Allah ‘Azza wa Jalla berkata: “Sesiapa yang berselawat kepadamu, nescaya Aku akan berselawat kepadanya dan sesiapa yang mengucapkan salam kepadamu, nescaya Aku mengucapkan salam kepadanya.”.” Maka aku pun bersujud kepada Allah untuk mensyukurinya.” (Lihat: al-Albani, Shohih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/134, no. 165: Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim - isnadnya sahih. Tahqiq al-Albani: Dan diriwayatkan oleh Ibn Abid Dunya dan Abu Ya’ala dan itu adalah lafaz miliknya - hasan lighairihi. Syaikh Syu’aib al-Arnauth berkata: Hasan lighairihi, beliau turut menyebutkan hadis ini Riwayat al-Hakim dan disahihkan oleh al-Hakim serta dipersetujui oleh adz-Dzahabi, Tahqiq Musnad Ahmad, 3/200, no. 1662)

12 – Supaya tidak menjadi orang yang hina.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: “Terhinalah orang yang di ketika namaku disebutkan padanya, tetapi dia tidak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Timirdzi, Sunan at-Tirmidzi, 11/455, no. 3468 dengan katanya: Hadis ini hasan ghorib. Ahmad, Musnad Ahmad, 12/421, no. 7451. Dinyatakan sahih dan isnadnya hasan oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth. Juga dinyatakan sahih oleh al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 3/177, no. 2810. Shohih Targhib wa at-Tarhib, 2/139, no. 1680)

Imam at-Tirmidzi rahimahullah berkata:

إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Terjemahan: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi, 11/455)

13 – Setiap majlis yang di dalamnya disebutkan dengan selawat akan mengelakkan dari penyesalan di hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ

Terjemahan: Tidaklah satu-satu kaum yang berada di dalam sesebuah majlis yang mana mereka tidak menyebut nama Allah padanya dan tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka, melainkan majlis tersebut merupakan kesedihan, dukacita, dan penyesalan. Sekiranya Dia menghendaki, mereka akan diazab, dan sekiranya Dia mahu, mereka akan diampuni. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 11/235, no. 3302 dengan katanya: Hadis ini hasan sahih. Disahihkan juga oleh al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 3/140, no. 2691)

14 – Bebas dari sifat kikir (kedekut) disebabkan tidak berselawat.

Daripada al-Husin B. ‘Ali B. Abu Tholib radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (Hadis Riwayat Ahmad, 3/257-258, no. 1736. Kata Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya kuat, perawinya tsiqah. at-Tirmidzi, Sunan at-Timidzi, 11/456, no. 3469 dengan katanya: Hasan sahih ghorib. Dinyatakan sahih oleh al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 3/177, no. 2811)

15 – Tidak berselawat ke atas Nabi di ketika nama beliau disebut akan mengakibatkan tersalah jalan menuju Syurga.
Daripada Husin B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من ذكرت عنده فنسي الصلاة علي خطىء طريق الجنة

Terjemahan: Sesiapa yang terlupa berselawat untukku di ketika namaku disebut padanya, maka dia telah menyimpang dari jalan menuju Syurga. (Lihat: as-Silsilah ash-Shohihah, 5/455, no. 2337)

Wallahu a’lam...

sumber: blog Fiqh-Sunnah